2 NOV : Polis mengesahkan kejadian seorang pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) ditekap seterika pada bahagian dada ketika disuruh menggosok baju kerja milik seniornya di bilik asrama, 22 Oktober lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata pihaknya menerima laporan yang dibuat mangsa kira-kira jam 8.23 malam pada Jumaat.
“Siasatan mendapati dalam kejadian kira-kira jam 11.45 malam di bilik asrama UPNM itu, mangsa berumur 20 tahun itu mulanya diminta menggosok baju kerja milik seorang pelajar senior yang juga pegawai kadet tahun empat.
“Pelajar senior itu bagaimanapun secara tiba-tiba mengambil seterika dipegang mangsa sebelum menekap mangsa di bahagian dada sebelah kanan,” katanya, lapor Sinar Harian.
Menurutnya, polis sudah merakam keterangan mangsa berhubung kejadian berkenaan.
“Rakaman keterangan dijalankan terhadap mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras dan mangsa diminta membuat rawatan di hospital bagi mengesahkan jenis kecederaan yang dialami.
“Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.
Terdahulu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya sedang menjalankan siasatan terhadap kes itu.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman pula dilaporkan berkata pihaknya tidak akan berkompromi terhadap pihak yang terlibat dan siasatan terperinci sedang dijalankan.