5 NOV : Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Tahanan Rumah yang akan digubal tidak tertumpu kepada individu tertentu.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata perbincangan yang berlegar kini tertumpu kepada seseorang sedangkan akta itu melibatkan 20,000 banduan secara berperingkat.
“Saya mengikuti sepenuhnya reaksi setelah tajuk itu (tahanan rumah) di masukkan dalam teks Bajet (Belanjawan 2025) perdana menteri, ianya mengundang pelbagai pandangan. Saya teliti dan saya memilih untuk beri penjelasan ketika sesi penggulungan peringkat dasar KDN Khamis ini.
“Saya akan jelaskan secara terperinci apakah rasional program itu nak dibuat, apakah proses, apakah parameter dan berapa ramai yang patut…boleh pertimbangkan.
“Semua (persoalan) itu pada akhir penjelasan nanti akan mampu menjernihkan beberapa pandangan yang terkadang saya tengok hanya tertumpu kepada seorang individu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas program Sesi Townhall bertemakan Mengurangkan Kebergantungan Kepada Pekerja Asing Melalui Pengambilan Prospek Yang Menjalani Pemulihan Dalam Komuniti di Ibu Pejabat Jabatan Penjara Malaysia di Kajang, hari ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata KDN dan Jabatan Penjara sudah bersedia dengan semua data yang diperlukan berkaitan cadangan tersebut.
Menurutnya, KDN sudah pun mendapatkan lampu hijau daripada Kabinet secara dasar sebelum ianya akan dibawa ke bawah dengan menjalankan pelbagai libat urus dengan pemagang taruh.
“Kemudian barulah kita akan menggubal satu draf Rang undang undang yang namanya RUU Akta tahanan rumah, itu prosesnya,” katanya.
Terdahulu, pada sesi yang diadakan di Kajang itu, Saifuddin menjelaskan program tahanan rumah merupakan satu inisiatif kerajaan dalam mengurangkan kesesakan di penjara seluruh negara ketika ini.
Jelasnya,berlaku lebihan 11 peratus banduan di penjara ketika ini yang menyebabkan kesesakan di mana penjara yang berkapasiti 74,000 menempatkan 87,000 banduan.
“Sebab itu KDN dapatkan kelulusan Kabinet, kita nak lihat satu lagi pilihan iaitu tahanan di rumah. Kita sudah bincang dengan pihak Jabatan Penjara, jika program ini dilaksanakan, boleh kita dapat parameter jelas, kategori (kesalahan) mana yang kita hendak keluarkan (tahanan di rumah).
“Individu itu tidak boleh terbabit jenayah besar, menyebabkan kecederaaan serius, menggunakan senjata dan sebagainya. Ia sesuai untuk jenayah kecil sebagai contoh ibu yang dipenjara kerana mencuri susu untuk anak.
“Dia wajar diberikan peluang berada di rumah bersama anak, namun dipantau dengan dipasangkan alat peranti pemantauan,” katanya.
Sebelum ini, wakil kerajaan, Ramkarpal Singh Karpal Singh menuntut jaminan kerajaan di Dewan Rakyat agar akta itu tidak terpakai untuk kes-kes berprofil tinggi termasuk melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kini sedang dipenjara.
Dalam pada itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dilaporkan menepis dakwaan RUU itu untuk ‘membebaskan’ Najib sebaliknya ia untuk menukar konsep keadilan menghukum yang diamalkan sebelum ini kepada keadilan pemulihan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan Najib mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan titah adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Titah adendum itu supaya Najib dapat menghabiskan baki hukuman penjara dengan tahanan di rumah.
Ahmad Zahid menyokong dakwaan itu menerusi afidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 April lalu setelah melihat dan membaca titah adendum itu dan jelas dengan isi kandungannya.