9 NOV : Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai keperluan membina tembok sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan.
Timbalan Menteri, Adly Zahari berkata perkara itu perlu diselaraskan melalui MKN.
” Melihat kepada kejayaan rampasan, berdasarkan maklumat yang sedia ada ini, langkah ke hadapan di bawah MKN itu harus diputuskan.
“Dari sudut Kementerian Pertahanan menerusi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kita akan laksanakan tanggungjawab yang sudah diamanahkan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program Veteran Desa Madani Peringkat Daerah Tanah Merah, di Sekolah Kebangsaan (SK) Bechah Laut, hari ini.
Menurut Adly, penugasan ATM di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan bermula dari Rantau Panjang sehingga ke Jeli yang meliputi 75 peratus kawasan sempadan.
“Kita ada 11 pos kawalan keselamatan di bawah tanggungjawab ATM. Bagi melancarkan penugasan kita sentiasa bertukar-tukar maklumat dengan Pasukan Gerakan Am (PGA) yang turut mengawal keselamatan sempadan,” katanya.