11 NOV : Majlis Peguam gagal memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk mencabar keputusan Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara dan denda terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes SRC International Sdn Bhd.
Keputusan ini dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Kamal Md Shahid yang menolak permohonan oleh Majlis Peguam untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan prosiding semakan kehakiman terhadap keputusan Lembaga Pengampunan.
Dalam penghakimannya, Ahmad Kamal berkata bahawa permohonan itu di luar bidang kuasa mahkamah dan remeh, kerana beliau berpendapat bahawa keputusan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan Lembaga Pengampunan adalah sebahagian daripada satu proses yang bersepadu, di mana keseluruhan proses itu membawa kepada pemberian pengampunan oleh YDPA.
“Dalam kes ini, saya mendapati bahawa prerogatif pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan merupakan pelaksanaan secara langsung budi bicara mutlak YDPA dan bukannya Lembaga Pengampunan atau kuasa yang diwakilkan kepada Lembaga Pengampunan.
“Dengan membaca Perkara 40(2) bersama Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, jelas bahawa kuasa pengampunan adalah keputusan yang secara khusus dipercayakan kepada budi bicara mutlak YDPA.
“Oleh itu, penentuan muktamad dan konklusif terletak pada YDPA, bukannya Lembaga Pengampunan. Justeru, perkara ini bukanlah isu yang sesuai dan wajar untuk disemak oleh mahkamah,” kata hakim sambil menambah permohonan kebenaran tersebut perlu ditolak tanpa kos, lapor Bernama.
Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee mewakili Najib manakala peguam Datuk Zainur Zakaria mewakili Majlis Peguam,dan Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly mewakili Pejabat Peguam Negara.
Pada 26 April lepas, Majlis Peguam memfailkan semakan kehakiman itu dengan menamakan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya serta Najib sebagai responden.
Ia memohon deklarasi bahawa keputusan Lembaga Pengampunan pada 29 Jan lepas berhubung permohonan Najib untuk mengurangkan separuh daripada hukuman penjaranya, yang menyaksikan beliau dibebaskan lebih awal iaitu pada 23 Ogos 2028 adalah tidak sah, tidak berperlembagaan dan batal.
Majlis Peguam juga memohon deklarasi bahawa keputusan Lembaga Pengampunan mengurangkan denda Najib daripada RM210 juta kepada RM50 juta dengan syarat kegagalan membayarnya akan melanjutkan tempoh penjara beliau selama setahun, yang menyebabkan pembebasan awal pada 23 Ogos 2029, adalah tidak sah, tidak berperlembagaan dan batal.
Najib, 71, telah menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan dengan kesalahan menyeleweng RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd.
Beliau telah memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 Sept 2022 yang menyaksikan Lembaga Pengampunan mengurangkan separuh hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun serta denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.