13 NOV : Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin meninggal dunia di sebuah hospital, hari ini selepas menerima rawatan sejak dua minggu lalu.
Ahli perniagaan itu menghembuskan nafasnya yang terakhir pada usia 86 tahun meninggalkan seorang isteri, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid dan lima anak.
Berita pemergian Allahyarham itu disahkan peguamnya, Datuk Dr Gurdial Singh Nijar.
Menurut Gurdial, pengebumian Allahyarham akan dibuat pagi ini.
“Ya. Benar dia meninggal dunia. Pengebumian dibuat pagi ini. Dia mengalami strok baru-baru ini dan diletakkan di unit rawatan rapi (ICU). Belum ada maklumat lanjut,” katanya lapor Malaysiakini.
Allahyarham pernah berkhidmat sebagai Menteri Kewangan sebanyak dua kali dari 1984 hingga 1991 dan 1999 hingga 2001 di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad
Allahyarham juga pernah berkhidmat sebagai ahli Parlimen selama lima penggal antara 1982 dan 2004.
Selain itu, Allahyarham juga merupakah salah satu individu berpengaruh dalam dunia korporat di Malaysia yang disegani.
Ketika berkhidmat, Allahyarham berjaya mengukuhkan ekonomi Malaysia dengan pelbagai dasar dan strategi kewangan malah selepas bersara beliau masih aktif menyumbang kepada ekonomi negara.