14 NOV : Ajaran, fahaman dan pegangan ahli GISBH Holdings (GISBH) ditetapkan sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran agama Islam.
Ketetapan itu dibuat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (Jawatankuasa Fatwa MKI) ketika bersidang pada 24 hingga 26 September lalu.
Pengerusinya, Datuk Nooh Gadut, berkata ajaran dibawa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISBH, Datuk Nasiruddin Mohd Ali itu mempunyai ciri penyelewengan.
Katanya, ciri penyelewengan ajaran agama Islam termasuk Asy-Syeikh Muhammad bin Abdullah As-Suhaimi/Sheikh Muhammad Suhaimi adalah Imam Mahadi, Asaari Muhamad akan muncul bersama Asy-Syeikh Muhammad bin Abdullah As-Suhaimi sebagai pembantu di akhir zaman, Asaari Muhamad boleh memberi syafaat kepada pengikutnya.
Selain itu, penyelengan lain seperti air basuhan anggota badan pemimpin dan air rendaman seperti rambut dan janggut pemimpin mempunyai berkat, mengamalkan ekonomi ma’ash mempunyai unsur perhambaan yang mana keperluan pengikut akan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat dan sebagai balasan mereka dikehendaki berkhidmat secara sukarela tanpa sebarang upah.
“Semua orang hendaklah menjauhi ajaran, pegangan dan fahaman berkenaan dan dilarang mempercayai, mengajar, menyebarkan, mengamalkan atau menjadi pengikutnya. Mereka yang mempercayai, mengajar, menyebarkan, mengamalkan atau menjadi pengikut ajaran berkenaan hendaklah bertaubat dengan taubat nasuha.
“Orang ramai juga tidak boleh memiliki, menyimpan, menjual, memuat naik, memuat turun, menyebarkan, mengedarkan, menggantungkan atau menerbitkan apa poster, buku, majalah, risalah atau bahan bacaan lain sama ada dicetak, ditaip atau ditulis dalam semua bentuk keluaran termasuk filem. audio visual, rakaman, laman sesawang dan media cetak atau elektronik.
“Jawatankuasa ini juga mencadangkan agensi kerajaan berkaitan di peringkat Persekutuan dan negeri membantu melaksanakan proses istitabah (bertaubat) dan memberi peruntukan atau pembiayaan bersesuaian dengan tujuan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, pandangan itu sudah disembah maklum Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kepada Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), Sultan Nazrin Shah dan Majlis Raja-Raja, bulan lalu.
Tambahnya, pihak berkuasa negeri boleh mempertimbang keputusan berkenaan untuk pewartaan fatwa negeri masing-masing.