14 NOV : Kerajaan membuat keputusan untuk mengekalkan Akta Hasutan 1948 tanpa sebarang pindaan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata keputusan itu diambil bagi memastikan ketenteraman awam dan keselamatan negara.
Meski begitu, rakyat masih bebas bersuara dan mengeluarkan pendapat seperti yang termaktub di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan selagi tidak melampaui batas.
“Akta hasutan semangatnya adalah untuk memantau perkara mengenai 3R. Sebab itu bukan semua perkara dalam isu 3R dilarang, hanya akan dikenakan tindakan sekiranya melanggar Akta Hasutan, Kanun Keseksaan, Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dan sebagainya.
“Lebih baik pendekatan yang diambil rakyat, tidak berbicara mengenai isu ini secara terbuka mengenai isu sensitif. Sebenarnya tindakan yang dilakukan PDRM sengaja dibesarkan. Apa yang dilakukan PDRM misalnya untuk mengekang supaya perkara ini tidak berleluasa sampai tahap menjejaskan keselamatan negara,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Dr Kelvin Yii (PH-Bandar Kuching) yang membangkitkan sama ada kerajaan merancang untuk memansuhkan Akta Hasutan atau memindanya supaya hanya digunakan untuk perkara yang menyentuh institusi diraja dan tidak disalah gunakan untuk isu lain.
Shamsul Anuar berkata, kajian sudah dilaksanakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi menilai keperluan pindaan terhadap akta itu seiring peredaran masa dan ledakan digitalisasi atau menggubal sebuah akta baharu bagi menangani isu 3R.
“Susulan kajian tersebut, kementerian ini telah membentangkan Memorandum Jemaah Menteri bagi penetapan dasar berkaitan perkara tersebut dan Jemaah Menteri telah bersetuju secara dasar supaya Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri menyelaras penggubalan Rang Undang-Undang Keselamatan Negara.
“Ia bertujuan bagi memelihara keselamatan negara daripada ancaman luar dan dalaman termasuklah melindungi Institusi Raja Berpelembagaan, Demokrasi Berparlimen dan keharmonian antara agama,” katanya.