Lantikan Peguam Negara baharu ikut lunas undang-undang
15 NOV : Kerajaan menegaskan pelantikan Peguam Negara baharu, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar dibuat mengikut lunas undang-undang yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata pemilihan Mohd Dusuki atas dasar pengalamannya yang luas.
“Pelantikan Mohd Dusuki sebagai Peguam Negara adalah di atas pertimbangan beliau mempunyai pengalaman yang luas selama 31 tahun dalam bidang pendakwaan, perkhidmatan perundangan di Jabatan Peguam Negara,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet, hari ini.
Mohd Dusuki yang sebelum ini merupakan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara (AGC) dilantik sebagai Peguam Negara berkuat kuasa 12 November lalu bagi menggantikan Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh yang dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan.
Pelantikan beliau mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim selaras Fasal (1) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.
Sebelum ini, pembangkang membangkitkan soal ‘cakap-cakap luar’ yang menyifatkan pelantikan Mohd Dusuki sebagai tindakan membalas budi kerana beliau terlibat dalam memberi hujah untuk melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid bagi kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram.
Sementara itu, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi menyifatkan tiada keperluan untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memendekkan lawatan kerja di luar negaranya bagi menjawab isu berkait pemberi maklumat kes rasuah membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Menurutnya, Anwar boleh menjawab sebarang isu di mana-mana sahaja tanpa batasan.
“Perdana Menteri akan kembali ke Malaysia, insya-Allah Rabu depan dan sudah pasti dalam zaman sekarang sekiranya perlu beliau menjawab apa-apa isu atau pun memberi komen ia boleh dibuat di mana sahaja beliau berada.
“Jadi, saya lihat itu tidak ada isu dan beliau sudah menyatakan bahawa untuk (pemberi maklumat) memohon perlindungan, itu tidak mungkin, perlu mengikut proses dan berlandaskan undang-undang sedia ada,” katanya.
Anwar kini dalam lawatan rasmi sulungnya ke Peru sejak Rabu lalu.