16 NOV : Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) perlu mengiktiraf potensi sekutu bukan tradisional seperti Kesatuan Afrika, Amerika Latin dan BRICS, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata ‘perkongsian dengan ASEAN, Kesatuan Afrika dan rangkaian digital rentas sempadan boleh mentakrifkan semula daya tahan global kita’.
“Walaupun pada hakikatnya kita hidup dalam era ketidaktentuan geopolitik namun, masih sudah sampai masanya untuk APEC dan BRICS memanfaatkan kelebihan bersama untuk membentuk semula struktur kuasa ekonomi.
“Selain itu, perkongsian ini dapat memupuk kerjasama digital yang mencerminkan nilai kita – mencipta alternatif kepada model pembangunan tradisional,” katanya semasa membuat intervensi pada Dialog Informal Pemimpin APEC bersama Tetamu, Jumaat, hari kedua terakhir Minggu Pemimpin Ekonomi APEC (AELW) di Lima, Peru.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata melalui usaha bersama dan segerak, APEC dan BRICS berpeluang menyampaikan visi inklusif untuk pertumbuhan ekonomi yang memperkasakan masyarakat di seluruh benua.
“Kumpulan yang lemah daripada populasi kita bukan satu statistik, mereka adalah denyut nadi masyarakat kita.
“Setiap anak-anak tanpa akses kepada pembelajaran digital, setiap usahawan terkekang ekoran halangan pembiayaan, dan setiap keluarga yang terancam dengan kemerosotan alam sekitar adalah peluang yang terlepas untuk pertumbuhan dan kestabilan,” katanya, lapor Bernama.
Anwar berkata, untuk melindungi mereka, APEC perlu menyalurkan sumber dan kepakarannya ke wilayah lain dengan matlamat yang sama.
“Pertimbangkan inisiatif bersama, dengan APEC bekerjasama dengan Perikatan Pasifik untuk memanfaatkan pertanian pintar iklim, membawa daya tahan iklim kepada kalangan petani terkecil kita.
“Atau penglibatan yang aktif menerusi platform seperti OECD (Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan) untuk melancarkan program kerjasama bagi rangkuman digital mampu milik, bukan sahaja merapatkan jurang digital malah juga membuka peluang baharu bagi komuniti luar bandar dan bandar,” katanya.
Menurutnya, semua usaha merentas rantau itu akan membolehkan kalangan ekonomi APEC memanfaatkan sepenuhnya kelebihan inovasi kolektif, menguatkan sokongan kepada golongan yang paling memerlukan.
BRICS, asalnya merangkumi Brazil, Rusia, India dan China ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama untuk ekonomi yang sedang pesat membangun.
Afrika Selatan menyertainya pada 2010. Blok itu kemudiannya berkembang dengan meliputi Iran, Mesir, Ethiopia dan Emiriah Arab Bersatu.
Baru-baru ini, Malaysia telah diiktiraf sebagai satu daripada 13 negara yang ditambahkan secara rasmi sebagai negara rakan BRICS, sebuah blok yang secara kolektif menyumbang satu perlima kepada perdagangan global.
BRICS mewakili kira-kira 40 peratus daripada populasi global dan menyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terkumpul AS$26.6 trilion atau 26.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia, hampir menyamai kekukuhan ekonomi Kumpulan Tujuh (G7).
G7 adalah kumpulan tidak rasmi tujuh ekonomi maju dunia meliputi Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, United Kingdom dan Amerika Syarikat serta Kesatuan Eropah.
*Foto: Facebook Anwar Ibrahim