18 NOV : Usaha pemulihan kanak-kanak GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) yang diselamatkan dibuat secara menyeluruh merangkumi aspek akidah, kaunseling, kenegaraan, pendidikan dan kemahiran.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata kerajaan juga fokus kepada inisiatif mengembalikan mereka kepada keluarga masing-masing.
Katanya, usaha itu melibatkan pakar sebelum kanak-kanak terbabit dikembalikan kepada masyarakat dengan sejahtera selain mengurangkan risiko trauma akibat menjadi mangsa GISBH.
“Semua pendekatan (pemulihan) ini memerlukan kesungguhan dan komitmen pelbagai pihak bagi memastikan kanak-kanak berkenaan tidak terabai dan dapat kembali menjalani kehidupan yang normal dalam masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini ketika menjawab soalan tambahan Zakri Hassan (PN-Kangar) berkenaan usaha pemulihan kanak-kanak GISBH terutama risiko trauma.
Pada sesi sama, Mohd Na’im berkata dalam usaha menangani isu GISBH, kerjasama strategik menyeluruh diperkukuh antara Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan majlis agama negeri-negeri.
Katanya, ini termasuk penyelarasan fatwa ajaran pengikut GISBH, penguatkuasaan undang-undang, pemulihan mangsa dan ahli serta pemantauan berterusan aktiviti gerakan itu.