20 NOV : Beberapa daerah di Terengganu mula dinaiki air dengan 2,765 mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindah sementara (PPS) setakat jam 8 pagi ini.
Kesemua mangsa daripada 603 keluarga itu ditempatkan di 14 PPS di lima daerah.
Setakat ini, lima daerah di negeri itu dilanda bah iaitu Kemaman, Marang, Hulu Terengganu, Setiu dan terbaharu, Dungun.
Di Kemaman, jumlah mangsa direkodkan seramai 2,584 orang daripada 554 keluarga yang ditempatkan di lima PPS dan di Hulu Terengganu, 94 mangsa banjir terjejas daripada 25 keluarga di enam PPS.
Sementara itu, di Setiu 69 mangsa daripada 19 keluarga ditempatkan di satu PPS manakala di Marang, satu lagi PPS dibuka untuk 13 mangsa daripada empat keluarga.
Hujan dilaporkan masih turun di beberapa tempat di Terengganu dan dijangka jumlah mangsa akan meningkat.
Sementara itu, hujan lebat yang melanda Kelantan menyebabkan dua sungai iaitu Sungai Semerak, Pasir Puteh dan Sungai Pergau, Kampung Lawar, Jeli mencatat bacaan melebihi paras waspada.
Berdasarkan laporan pada laman web https://publicinfobanjir.water.gov.my, bacaan paras air di Sungai Semerak sudah pun melebihi tahap waspada iaitu 2.08 meter (m) manakala Sungai pergau pula 101.01 m setakat jam 7.45 pagi tadi.