Kenyataan Media
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Saya mengucapkan tahniah kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana mengambil tindakan tegas menurunkan papan tanda bahasa lain di sekitar ibu kota seperti mana yang dilaporkan media, baru-baru ini.
Langkah ini sewajarnya dijadikan contoh oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara dalam memartabatkan bahasa Kebangsaan.
Sudah sampai masanya seluruh PBT menggunakan Bahasa Melayu dengan menguatkuasakan undang-undang yang dimiliki dan tidak lagi bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang meremehkannya.
Ia selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menjelaskan bahawa bahasa Melayu adalah bahasa rasmi yang tidak boleh dipertikai fungsi dan peranannya sebagai Bahasa Kebangsaan.
Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dimantapkan dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1967.
Justeru, tidak ada pilihan untuk tidak menggunakan Bahasa Persekutuan ini pada papan tanda atau dalam urusan di negara ini.
Malah penggunaan Bahasa Melayu pada papan tanda juga tidak menjejaskan sama sekali kemasukan pelancong. Sebagai contoh, negara jiran Thailand menggunakan Bahasa Thai di semua papan tandanya tetapi pelancong tetap ramai berkunjung ke negara tersebut.
Saya mencadangkan supaya tindakan yang lebih berat dikenakan kepada pihak yang tidak menggunakan Bahasa Melayu pada papan tanda termasuk golongan yang meremehkan penggunaan bahasa kebangsaan ini.
Kita sudah merdeka lebih setengah abad dan tidak sewajarnya kita masih terperangkap dalam retorik pertikaian bahasa ini kerana ia sudah jelas Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi Malaysia.
Bekas Perdana Menteri
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob