27 NOV : Lubnan dan Israel menerima perjanjian gencatan senjata bagi menamatkan pertempuran di wilayah itu.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden memaklumkan perjanjian itu berkuat kuasa mulai jam 4 pagi Rabu (waktu tempatan).
“Di bawah perjanjian yang dicapai hari ini, berkuat kuasa jam 4 pagi (Rabu) waktu tempatan, pertempuran merentasi sempadan Lubnan-Israel akan berakhir. Perjanjian ini dicapai bagi menghentikan permusuhan secara kekal.
“Dalam tempoh 60 hari akan datang, Israel akan secara beransur-ansur menarik pasukan tentera dan orang awam. Orang awam di kedua-dua pihak tidak lama lagi akan dapat selamat kembali ke komuniti mereka dan membina semula kediaman mereka,” kata Biden semasa menyampaikan perkembangan terbaharu konflik di Lubnan dari White House, lapor Agensi.
Jelas Biden, tentera Lubnan akan mengambil alih semula wilayahnya berikutan perjanjian gencatan senjata yang dicapai antara Israel dengan pasukan pejuang, Hezbollah.
Beliau turut memuji pimpinan Lubnan dan Israel atas persetujuan gencatan senjata itu yang disifatkannya penting bagi mencapai keamanan dan kemakmuran di Asia Barat.
Perjanjian gencatan senjata itu menuntut tentera Israel berundur dari selatan Lubnan manakala tentera Lubnan dikerah di kawasan berkenaan.
Selain itu, Hezbollah juga perlu menamatkan kehadiran bersenjata mereka di sepanjang sempadan selatan Sungai Litani.
Menteri Luar Lubnan, Abdallah Bou Habib dilaporkan berkata negaranya sudah bersedia untuk mengerahkan sekurang-kurangnya 5,000 anggota di selatan Lubnan sebaik rejim itu berundur.