29 NOV : Tentera zionis Israel mencabuli perjanjian gencatan senjata dengan Lubnan masuk hari kedua persetujuan itu dicapai, lapor Agensi.
Rejim itu dilapor menyerang Lubnan beberapa kali termasuk serangan udara dengan mengebom kemudahan simpanan roket milik pejuang Hizbullah di kawasan berhampiran Baysariyah di utara Sungai Litani yang terletak di sempadan Beirut.
Wakil rakyat di Lubnan, Hassan Fadlallah berkata rejim itu jelas melanggar perjanjian yang dipersetujui pada Rabu dengan mensasarkan penduduk.
“Musuh sengaja menyasarkan mereka yang kembali ke perkampungan di sempadan,” katanya.
Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mendakwa tenteranya turut membedil kenderaan dinaiki suspek yang tiba di beberapa kawasan di zon selatan ketika ribuan penduduk mula kembali ke bandar dan perkampungan masing-masing sejak Rabu.
Tentera Lubnan turut mengumumkan Israel beberapa kali melanggar perjanjian dicapai itu sepanjang tempoh 48 jam tersebut.
IDF berkata tenteranya mengenal pasti beberapa aktiviti mencurigakan yang kononnya mengancam syarat perjanjian tempoh bertenang tersebut.
“Kami akan bertindak balas jika pihak sana mencabuli perjanjian tersebut,” kata Ketua Turus Am, Herzi Halevi.
Malah Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu juga mengarahkan IDF supaya siap siaga untuk kembali bertempur jika Hizbullah melanggar perjanjian tersebut.
Terdahulu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengumumkan Lubnan dan Israel bersetuju dengan perjanjian gencatan senjata itu berkuat kuasa jam 4 pagi Rabu lalu.