3 DIS : Permohonan Hunter Biden untuk membatalkan pertuduhan cukai dan senjata api terhadapnya dibantah Peguam Khas Amerika Syarikat (AS), David Weiss.
Hunter membuat permohonan itu selepas Presiden AS, Joe Biden yang juga bapa kandungnya dilapor memberikan pengampunan terhadapnya.
Pada Ahad lalu, pemimpin White House itu menandatangani perintah eksekutif memberi pengampunan tersebut dengan alasan berlaku ketidakadilan pendakwaan.
Dilaporkan Presiden yang baharu dipilih, Donald Trump mengkritik tindakan Biden itu dan menyifatkannya sebagai penyalahgunaan kuasa dan pencabulan keadilan.
“Amerika Syarikat, melalui counsel of record, dengan ini mengemukakan bantahan terhadap permohonan defendan untuk membatalkan pertuduhan, seperti yang dinyatakan dalam ‘Notis Pengampunan Defendan’ (ECF No. 236).
“Permohonan defendan harus ditolak kerana tiada kuasa yang mengikat mahkamah ini untuk membatalkan pertuduhan itu,” kata Weiss melalui dokumen mahkamah bertarikh semalam, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Tegasnya, meski defendan menerima belas kasihan tersebut namun tidak bermakna pertuduhan terhadapnya perlu dihapuskan.
Beliau turut membidas dakwaan Hunter kononnya dakwaan terhadapnya itu susulan statusnya sebagai anak Presiden yang sedang berkhidmat.
Sebaliknya kata Weiss, dakwaan itu bertentangan dengan fakta memandangkan badan eksekutif yang mengemukakan dakwaan itu diketuai bapanya sendiri.
*Foto: Facebook The Shade Room