4 DIS : Kerajaan menolak dakwaan berlaku kebocoran 17 juta data berkait kad pengenalan atau MyKad yang kononnya dijual dalam pasaran gelap
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata semakan sudah pun dijalankan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan bahagian keselamatan teknologi maklumat.
“Dakwaan itu timbul daripada seorang pengguna media sosial, dia pamerkan beberapa MyKad yang dia kata 17 juta, tapi pamer beberapa keping.
“Saya segera semak, pertama dengan JPN bahagian berkenaan…yang kedua dengan bahagian keselamatan teknologi maklumat. Kedua-duanya mengesahkan tiada insiden itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media hari ini ketika meninjau keadaan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Bukit Tinggi di Kubang Pasu.
Terdahulu pengguna laman X, Fusion Intelligence Center @ StealthMole mendakwa 17 juta data MyKad telah dikongsi secara terbuka dan dijual di laman web gelap.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata integriti data melibatkan maklumat rakyat di negara ini dijamin selain meminta orang awam tidak menyebarkan berita yang tidak benar.
“Kita minta rakyat agar berhati-hati apabila menerima maklumat seperti ini.
“Mudah sekali sebar apabila tunjuk beberapa keping MyKad kemudian kata 17 juta, lebih baik tidak disebarkan berita ini,” katanya.