5 DIS : : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan rasa kesal dengan kelewatan pelaksanaan dua inisiatif digital negara iaitu MyDigital ID dan rangkaian 5G kedua.
Beliau berkata, pelaksanaan MyDigital ID terlambat selama setahun manakala rangkaian 5G kedua masih tertangguh kerana rundingan untuk projek itu tidak mendapat respons positif daripada Digital Nasional Bhd (DNB) dan syarikat telekomunikasi.
“Ini menyebabkan saya agak hilang kesabaran,” katanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan Warga Kementerian Kewangan, hari ini, lapor Bernama.
Anwar berkata, beliau telah menyuarakan kekesalan berhubung perkara itu ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN), semalam.
Beliau berkata kelewatan kedua-dua projek itu disifatkan sebagai cuai dan menjejaskan kemajuan negara dalam merealisasikan agenda transformasi digital.