6 DIS : Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin meletakkan syarat untuk dirinya jika mahu kembali kepada parti lamanya itu selepas dipecat sejak dua tahun lalu.
Tegas Khairy, apa pun terjadi beliau tidak akan mengorbankan idealismenya untuk melihat UMNO berubah dan lebih berintegriti.
“Jika satu hari nanti saya nak pulang atau kembali kepada UMNO… Kembalinya saya kepada UMNO mesti datang dengan satu iltizam daripada semua pihak terlibat, pemimpin sedia ada dan saya sendiri.
“Saya tak nak tengok ini sebagai satu jalan untuk saya kembali ke politik supaya dapat apa-apa jawatan…Idealisme saya untuk melihat UMNO yang berubah, UMNO yang lebih baik, UMNO yang lebih relevan, UMNO yang lebih segar dan UMNO yang lebih berintegriti… saya rasa saya tidak boleh korbankan itu jika saya hendak kembali,” katanya.
Beliau berkata demikian pada audio siar Keluar Sekejap yang disiarkan, hari ini.
Ahad lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid berkata penerimaan semula bekas pemimpin yang dipecat atau digantung boleh dipertimbangkan sekiranya mereka membuktikan komitmen seperti yang ditunjukkan bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.
Menurut Timbalan Perdana Menteri itu, Tajuddin menghantar empat surat rayuan selepas digantung keahlian selama enam tahun dan akhirnya diterima semula pada 25 November lalu.
Dalam pada itu, Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau mengakui hatinya masih pada dengan UMNO meski sudah dipecat.
“Dalam hati saya ini sebenarnya masih lagi ahli UMNO. Saya tak keluar UMNO…saya kena pecat dari UMNO. Sampai ke hari ini, saya tak berapa tahu kenapa saya dipecat dari UMNO. Tetapi kalau anda acu senjata di kepala saya sekali pun, saya tetap dengan UMNO.
“Hati saya adalah untuk UMNO. Saya terima baik apa yang disebut oleh Datuk Ahmad Zahid sebelum ini. Saya tidak mahu perli. Saya tak nak buat kenyataan sinis kerana ini serius. Kalau orang cakap serius dan baik, kita cakap serius dan baik,” katanya.
Khairy dipecat pada 28 Januari tahun lalu bersama beberapa pemimpin lain termasuk yang digantung didakwa susulan pelanggaran disiplin parti mengikut Perlembagaan UMNO kerana kesalahan sewaktu Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15).