6 DIS : Tiada cadangan rasmi yang dipersetujui negara anggota BRICS bagi tujuan mengurangkan pergantungan kepada dolar AS setakat ini, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata Malaysia selaku negara rakan kongsi BRICS cakna terhadap situasi semasa terutamanya behubung ancaman bakal Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang bercadang mengenakan tarif 100 peratus ke atas negara-negara perkumpulan BRICS sekiranya negara-negara ini meneruskan hasrat untuk menggunakan mata wang baharu.
“Walaupun antara topik yang pernah dibincangkan semasa sidang mesyuarat BRICS adalah berkaitan pengurangan kebergantungan kepada mata wang tradisi perdagangan seperti dolar AS, namun setakat ini tiada cadangan rasmi yang telah dipersetujui bagi tujuan mengurangkan pergantungan kepada dolar AS,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis bagi menjawab soalan Young Syefura Othman (PH-Bentong) mengenai pendirian Malaysia selaku rakan kongsi dalam BRICS mengenai kemungkinan kenaikan tarif 100 peratus oleh Presiden AS.
Tengku Zafrul berkata Malaysia melihat BRICS sebagai satu platform yang semakin penting dalam mengetengahkan pandangan dan pendirian mengenai isu ekonomi serantau melalui dialog, forum atau perbincangan yang lebih strategik secara tidak mengikat.
Pada masa sama, beliau berkata tidak dinafikan terdapat kesalingbergantungan yang tinggi dalam hubungan perdagangan dan ekonomi di antara Malaysia dan AS terutama dalam rantaian bekalan semikonduktor dengan syarikat-syarikat AS adalah pelabur utama di Malaysia.
Hubungan perdagangan yang saling melengkapi ini dapat dilihat berdasarkan statistik semasa yang menyaksikan pada 2023, AS merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia manakala Malaysia adalah rakan dagang ke-19 terbesar AS, katanya.
“Oleh yang demikian, sebarang langkah mengenakan tarif 100 peratus akan hanya merugikan kedua-dua belah pihak yang saling bergantung dalam usaha untuk mencegah gangguan dalam rantaian bekalan global,” kata Tengku Zafrul.
Katanya, Malaysia yang masih belum menjadi anggota BRICS secara rasmi akan terus memantau secara rapat perkembangan yang mungkin turut memberi kesan kepada negara memandangkan dolar AS masih memainkan peranan yang besar dalam sistem kewangan dunia.
“Penggunaan mata wang lain oleh Malaysia dalam urusan perdagangan dan pelaburan perlu dikaji dengan lebih teliti oleh kerajaan dan sebarang keputusan mengenai perkara ini hendaklah berlandaskan kepentingan negara serta selari dengan dasar-dasar semasa negara,” katanya.