7 DIS : Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol membuat permohonan maaf secara terbuka susulan keputusannya mengisytihar undang-undang tentera, Rabu lalu.
Permohonan maaf itu dibuat beberapa jam sebelum rancangan undian pemecatan terhadapnya.
“Saya sangat menyesal dan ingin memohon maaf kepada orang yang terkejut. Mengenai pengisytiharan undang-undang tentera, saya tidak akan mengelakkan sebarang tanggungjawab undang-undang atau politik,” katanya.
Pada Selasa malam, Suk Yeol mengejutkan semua pihak apabila mengisytiharkan darurat tentera buat kali pertama dalam lebih empat dekad.
Namun keputusan itu mendapat tentangan di Parlimen apabila ahli Parlimen menolak dekri tersebut dan akhirnya Suk Yeol menarik balik pengisytiharan itu.
Pemimpin parti pemerintah Korea Selatan, Han Dong-hoon berkata Suk Yeol tidak lagi dalam kedudukan untuk menjalankan tugas awam dan peletakan jawatannya kini tidak dapat dielakkan.
Sebelum ini, Han menyifatkan Suk Yeol satu ancaman kepada negara dan perlu disingkirkan dari kuasa.