8 DIS : Kerajaan Negeri Sabah perlu berfungsi seperti biasa meski sedang terpalit skandal rasuah yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketua Penerangan PKR Sabah, Razeef Rakimin berkata perkara itu penting bagi memastikan kebajikan rakyat terus terjaga.
“Seperti yang semua sedia maklum, SPRM sudah memulakan siasatan dan memanggil beberapa pihak. Pihak berkuasa dan institusi mahkamah bebas melaksanakan siasatan dan pengadilan sewajarnya.
“Oleh itu biarlah kerajaan negeri berfungsi seperti biasa agar perancangan dan pelaksanaan projek serta aktiviti dalam menjaga kebajikan rakyat dapat berjalan lancar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, beberapa pihak menggesa Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor meletakkan jawatannya susulan video melibatkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di bawah pimpinannya didakwa terkait rasuah.
Dalam pada itu, Razeef yang juga Timbalan Ketua Penerangan Pusat berkata kestabilan politik amat kritikal untuk mewujudkan ekosistem pertumbuhan ekonomi dan menarik pelabur.
Selaras dengan pendirian kerajaan MADANI yang tegas dalam membanteras rasuah, Razeef berkata semua pihak perlu memberi kerjasama yang baik dalam proses siasatan itu.
“Jadi, PKR Sabah menggesa agar semua pihak memberi kerjasama yang baik dan sekiranya ada sebarang pelanggaran undang-undang maka mereka yang bersalah mesti dibawa ke muka pengadilan,” katanya.