8 DIS : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam fasa bersiap siaga bagi menangani sebarang isu liputan telekomunikasi di kawasan terjejas menjelang gelombang kedua banjir yang diramalkan bermula, hari ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata agensi tersebut akan terus memantau prasarana telekomunikasi di negara ini.
“Kita akan terus memantau prasarana telekomunikasi, khususnya dengan jangkaan gelombang kedua banjir bermula hari ini hingga 11 Disember,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Jelajah Peduli Ummah Lembah Pantai 2024 di ibu negara, hari ini.
Terdahulu beliau memaklumkan hampir kesemua 323 menara pemancar telekomunikasi yang terjejas akibat banjir sebelum ini sudah kembali pulih dan beroperasi sepenuhnya.
Dalam ucapannya, Fahmi memaklumkan MCMC bakal menyegerakan kerja baik pulih menara pemancar yang terjejas bagi memastikan kelancaran talian komunikasi terutama ketika kecemasan.
Hari ini, Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan gelombang kedua banjir bagi tempoh dua minggu bermula hari ini melibatkan Pahang dan Johor.
Sementara itu, Fahmi menyampaikan sumbangan kotak bantuan asnaf kepada keluarga yang memerlukan di Lembah Pantai pada program anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) itu.
Sebanyak 500 kotak bantuan diedarkan kepada penerima yang layak selain penyediaan makanan panas kepada lebih 1,000 orang melalui inisiatif Mobile Kitchen MAPIM.
Program itu turut menawarkan pemeriksaan kesihatan percuma kepada 200 penduduk melalui perkhidmatan Bas Mobile Clinic dua tingkat.
*Foto: Facebook Jabatan Penerangan WPKL