8 DIS : Kumpulan pembebas Syria mendakwa sudah menumbangkan kerajaan pimpinan Bashar al-Assad dan menawan ibu kota Damsyik.
Melalui kenyataan rasmi kumpulan itu, mereka mendakwa Assad kini melarikan diri ke lokasi yang tidak dipastikan.
Difahamkan bunyi letupan dan tembakan kedengaran di sana sini sekitar pusat bandar Damsyik.
Meneruskan kemaraan, kumpulan itu mengisytiharkan Damsyik sebagai wilayah bebas daripada kerajaan pimpinan Assad sambil meneruskan kemaraan bagi menawan lebih banyak kawasan.
Sebelumnya, kumpulan itu mendakwa mereka berjaya membebaskan bandar Homs yang menjadi kubu kuat kerajaan.
Melalui perkongsian di media sosial ratusan banduan dari penjara Saydnaya yang menjadi salah satu pusat tahanan bagi menempatkan penentang presiden dibebaskan.
Konflik di Syria itu mendapat perhatian dunia termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pada 29 November lalu, kumpulan Hayat Tahrir al-Sham yang dulunya dikenali sebagai Nusra Front (diharamkan di Rusia) dengan beberapa kumpulan bersenjata lain melancar operasi besar-besaran terhadap kerajaan Syria.