8 DIS : Polis akan mengesan kesemua individu tidak bertanggungjawab yang membuat panggilan palsu berkait bencana banjir di seluruh negara.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata tindakan perlu diambil terhadap individu berkenaan bagi memberi pengajaran kepada masyarakat.
“Selepas tamat sahaja banjir ini, kita akan menjejaki mereka yang buat panggilan palsu. Tindakan ini untuk memberi pengajaran kepada masyarakat. Sekarang ini kita fokus pada isu banjir.
“Setakat ini, kita menerima sebanyak 1,987 panggilan palsu di seluruh negara. Daripada jumlah itu, 114 panggilan palsu dikesan di Pasir Mas semasa musim banjir ini,” katanya pada sidang media di Balai Polis Repek di Pasir Mas, hari ini.
Katanya, siasatan akan dibuat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 serta satu tahun penjara atau keduanya sekali.
Beliau turut mengingatkan orang awam agar tidak membuat panggilan palsu yang jelas menyusahkan pihak berkuasa.
“Ini pengajaran kepada masyarakat agar tidak terlibat dengan membuat panggilan palsu.
“Polis sepatutnya boleh fokus kepada mangsa banjir yang terlibat tetapi terganggu apabila perlu pergi ke tempat kejadian melibatkan panggilan palsu. Apabila tiba di sana, rumah dan mangsa pun tiada,” katanya.