9 DIS : Mana-mana agensi yang menawarkan pakej nikah di Thailand boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata tawaran itu bertentangan dengan peraturan dan peruntukan undang-undang di negara ini.
“Dalam perkahwinan itu, katakanlah mereka kahwin di Thailand, cukup syarat nikah dia, rukun dia, wali ada dan saksi pun ada, perkahwinan itu sah daripada sudut hukum.
“Tetapi ia bertentangan dengan peraturan dan undang-undang negara kita. Sebab itu, kita nak lahirkan umat Islam yang bukan sahaja patuh kepada hukum, tapi juga rakyat yang mematuhi peraturan dan undang-undang,” katanya ketika hadir ke Majlis Penyampaian Biasiswa Al-Falah Madani di ibu negara, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkait tawaran tular di TikTok, ‘Trip Nikah di Thailand’ yang menawarkan khidmat nikah dulu bayar kemudian.
Melalui video yang dimuat naik itu, pasangan dari Malaysia yang berminat untuk berkahwin di Thailand hanya perlu membayar serendah RM1,699.
Dalam pada itu, Mohd Na’im menggesa agar orang ramai tidak terpengaruh dengan promosi atau pakej pernikahan yang ditawarkan agensi pelancongan seumpama itu yang jelas melanggar undang-undang.
“Kepada yang belum atau sudah berkahwin, patuhi undang-undang yang diperuntukkan di bawah akta atau Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri-negeri kalau mahu bernikah.
“Sebab peraturan sebenarnya untuk melindungi, membina hak semua pihak secara adil. Jadi saya syorkan kepada masyarakat luar hati-hati dengan media sosial promosi itu…bimbang lagi teruk kena scam.
“Disebabkan nak cepat nikah, tahu-tahu kena scam. Orang sekarang nak cepat buat duit, akhirnya nikah entah ke mana, duit pun hilang,” katanya.