9 DIS : Laporan kajian pengasingan kuasa Peguam Negara (AG) dan Pendakwa Raya dijangka dibentang kepada Kabinet tahun depan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran berkata laporan interim dapatan kajian empirikal pengasingan kuasa itu sedang disediakan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri ketika ini.
Menurutnya, kajian empirikal dilakukan di Ottawa dan Toronto, Kanada pada 6 hingga 9 Mei serta di Melbourne dan Canberra, Australia pada 3 hingga 6 Jun.
“Pasukan itu sudah memperoleh maklumat dan data komprehensif serta menyeluruh termasuk perkara teknikal, spesifik dan generik yang memberi penekanan kepada ‘big picture’ pelaksanaan pengasingan peranan AG dan Pendakwa Raya di negara ini.
“Negara terakhir akan dikaji oleh Pasukan Petugas Khas Komparatif ialah United Kingdom (UK) yang juga penutup kepada kajian empirikal…akan dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dikemukakan Teresa Kok (PH-Seputeh) berkait status terkini usaha pemisahan kuasa itu serta garis masa untuk melaksanakan reformasi institusi berkenaan.
Mengulas lanjut Kulasegaran berkata sesi meja bulat juga sudah dijalankan dengan dihadiri pakar akademik serta pengamal perundangan selain ahli akademik, pertubuhan masyarakat sivil dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Australia, Kanada dan Malaysia.
Menurutnya, kajian saintifik berdasar perspektif sains kemasyarakatan pandangan umum ke atas pengasingan peranan itu juga selesai dijalankan bagi tempoh enam bulan dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM).
“Kajian ini membabitkan pihak berkepentingan, termasuk masyarakat umum, agensi penguatkuasaan, pakar berkaitan dan kerajaan negeri.
“Ia merangkumi pengumpulan dan analisis data dan maklumat daripada pihak berkepentingan melalui pelbagai kaedah penyelidikan seperti perbincangan kumpulan fokus,” katanya.
Selain itu, Kulasegaran berkata Pasukan Petugas Khas Komparatif juga sedang meneliti model terbaik yang sesuai dalam pengasingan kuasa itu.
Mengambil contoh di Kanada dan Australia, Kulasegaran berkata AG tidak boleh memberi arahan kepada pendakwa melainkan dalam kes tertentu seperti yang membabitkan keselamatan namun dengan syarat perlu diwartakan kepada umum.
Bagi menjawab soalan tambahan Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun), Kulasegaran berkata kerajaan terbuka dengan cadangan pelantikan AG dibawa ke jawatankuasa di Parlimen.