9 DIS : Rayuan Dindings Poultry Development Centre Sdn Bhd (DPDC), syarikat usaha sama Malayan Flour Mills Bhd (MFM) untuk menangguhkan pembayaran denda RM70 juta atas dakwaan kartel harga ditolak.
Denda itu dikenakan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) pada Disember 2023 atas dakwaan membentuk kartel penetapan harga dedak ayam.
Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, MFM memaklumkan Tribunal Rayuan Persaingan (CAT) pada Jumaat lalu menolak permohonan DPDC bagi menangguhkan keputusan berkait denda tersebut sementara menunggu keputusan rayuan DPDC kepada CAT.
Tribunal juga dilapor tidak mengeluarkan sebarang perintah berkaitan kos lapor BH.
DPDC akan memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi terhadap keputusan CAT mengenai permohonan penangguhan itu.
Pada Jumaat lalu, Leong Hup International Bhd dan PPB Group Bhd turut mengumumkan perniagaan kilang dedak ayam mereka gagal menangguhkan pembayaran denda berjumlah RM200 juta yang dikenakan MyCC.
Leong Hup Feedmill Malaysia Sdn Bhd dikenakan denda tertinggi antara lima syarikat, sebanyak RM157.5 juta, manakala FFM Bhd milik PPB Group dikenakan denda sebanyak RM42.7 juta.
Leong Hup Feedmill juga bakal memfail permohonan bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap keputusan CAT berkait permohonan penangguhan itu.
Sementara FFM memaklumkan akan mendapatkan nasihat perundangan bagi melihat tindakan yang sesuai susulan penolakan permohonan berkenaan.
Pada Disember 2023, MyCC mengenakan denda RM415 juta terhadap Leong Hup Feedmill Malaysia Sdn Bhd, FFM Bhd milik PPB, Gold Coin Feedmills (Malaysia) Sdn Bhd, DPDC milik Malayan Flour Mills dan PK Agro-Industrial Products (M) Sdn Bhd atas dakwaan membentuk kartel penetapan harga dedak ayam.
Selain denda, kesemua syarikat tersebut turut diarah menghentikan pembabitan dalam kartel dan menyerahkan laporan mengenai kenaikan dan penurunan harga dedak ayam.