9 DIS : Pindaan terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Komunikasi dan Multimedia 2024 bertujuan melindung dan menjamin keselamatan pengguna Internet.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil ketika membentang bacaan kali kedua RUU berkenaan di Dewan Rakyat, hari ini berkata pindaan itu bagi melindungi data dan transaksi harian daripada kemudaratan dalam talian termasuk eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak.
Menurutnya, kes penipuan dalam talian masih berlaku secara meluas meski pelbagai usaha pencegahan dilaksanakan.
Tambahnya, pelaku penipuan sentiasa mengembangkan modus operandi menggunakan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan automasi untuk menjadikan penipuan itu lebih sukar dikesan.
“Tahap kemudaratan dalam talian semakin tinggi ini diterjemahkan melalui tindakan penurunan kandungan berunsurkan scam di platform media sosial antara 2022 hingga 1 Disember lalu, membabitkan 62,833 kandungan.
“Dalam tempoh sama, jumlah penurunan kandungan berunsur pelacuran di media sosial adalah sebanyak 2,165 kandungan, manakala judi dalam talian (185,858) dan berunsur lucah (1,947).
“Berdasarkan jumlah ini, 71.2 peratus atau 1,387 adalah kandungan berkaitan penderaan seksual kanak-kanak yang dilaporkan,” katanya.
Kerugian RM1.22 bilion direkodkan akibat jenayah dalam talian di negara ini antara Januari hingga Oktober lalu termasuk melibatkan jenayah telekomunikasi, e-kewangan, love scam, e-dagang, pinjaman dan pelaburan tidak wujud.