9 DIS : Blok pembangkang gagal dalam undi belah bahagian di Dewan Rakyat bagi menggagalkan Rang Undang-Undang (RUU) Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024 daripada diluluskan, hari ini.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata hasil undian yang dijalankan, 59 ahli Parlimen bersetuju dengan RUU itu manakala 40 lagi menolak, seorang tidak mengundi dan 122 lagi tidak hadir.
“Maka RUU Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024 diluluskan,” katanya.
Undi belah bahagian itu dipohon Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) selepas Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil selesai menggulung perbahasan RUU berkenaan.
Persidangan Dewan Rakyat kemudiannya ditangguhkan selama 10 minit bagi memberi laluan kepada ahli Parlimen yang hadir untuk memasuki dewan bagi mengundi.
Ketika menggulung, Fahmi berkata keputusan dasar bagi meminda Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 (Akta 588) sudah pun dibuat pada 2022 sebelum kerajaan hari ini dibentuk.
Namun beliau menafikan pindaan ke atas Seksyen 233 akan mengehadkan orang ramai daripada mengkritik kerajaan.
“Asasnya, Seksyen 233 (pada Akta 588) merujuk kepada penyalahgunaan rangkaian. Di hujung penyalahgunaan rangkaian dijelaskan beberapa aspek mengenai maksud salah guna.
“Sebab inilah kalau diteliti kita tak boleh membuang terus Seksyen 233 kerana ia termasuk (bagi kesalahan) mereka yang menyalahgunakan rangkaian untuk tujuan komersial, penjualan pornografi dan pedofilia.
“Namun, ada dua perkara memberi ruang untuk penambahbaikan, terutama huraian 6(d) iaitu apa-apa komunikasi dibuat dengan suci hati adalah tidak jelik melampau selagi ia terdiri daripada penyataan fakta, adalah benar dan terdiri daripada penyataan pendapat,” katanya.
Beliau turut menjamin untuk menjunjung Perlembagaan Persekutuan yang memberi kebebasan bersuara kepada rakyatnya.