10 DIS : Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) bertanggungjawab mengawal kenaikan premium insurans perubatan agar tidak terlalu tinggi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kenaikan yang terlalu tinggi hanya akan menimbulkan banyak masalah kepada pesakit dan menyumbang kepada peningkatan inflasi.
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, BNM bersama Perbendaharaan dan KKM sedang meneliti dan merangka panduan tegas bagi memastikan syarikat insurans serta pengendali takaful (MHIT dan ITO) mengambil kira pelbagai aspek sebelum menaikkan kadar itu.
“Kenaikan ini adalah bersandarkan treshold yang lebih rendah di Malaysia serta kos perubatan dan perkhidmatan yang tinggi, seperti dijelaskan oleh syarikat insurans.
“Bagaimanapun, KKM dan BNM kini sedang menyelaraskan tindakan supaya kenaikan tersebut munasabah dan tidak membebankan rakyat,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) mengenai langkah kerajaan dalam mengatasi masalah kenaikan premium insurans perubatan antara 40 hingga 70 peratus, serta kadar inflasi kos perubatan negara yang mencapai 12.6 peratus pada 2023, iaitu lebih dua kali ganda berbanding purata global sebanyak 5.6 peratus.