10 DIS : Kerajaan memutuskan untuk membatalkan komitmen pembelian ubat dengan beberapa syarikat yang monopoli bekalan perubatan di negara ini dalam usaha menangani isu kos perubatan yang meningkat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan perkara itu kepada Dewan Rakyat, hari ini.
Menurutnya, negara tidak boleh terus-terusan bergantung kepada bekalan ubat dari Amerika Syarikat dan Eropah yang menelan kos lebih tinggi.
Kementerian Kesihatan akan diarah meneroka alternatif bekalan ubat ke Brazil, China dan India.
“Kita tahu bahawa alasan kos perubatan (naik)…pertama ubatan sekarang ini tidak ada kawalan, malah pembelian ubat selama berpuluh tahun ini adalah dimonopoli.
“Jadi sebab itu, kita akan membatalkan beberapa komitmen kepada satu atau dua syarikat dan minta Kementerian Kesihatan menjelajah ke beberapa negara supaya mendapat ubat generik yang lebih murah dan berpatutan.
“Ubat generik ini terkenal di Brazil, India, China yang dikaji dan tidak semestinya terikat dengan Amerika Syarikat atau Eropah yang kosnya terlalu tinggi,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat.
Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) membangkitkan soalan mengenai langkah kerajaan mengatasi masalah kenaikan premium insurans perubatan antara 40 hingga 70 peratus dan peningkatan kos perubatan sebanyak 12.6 peratus pada 2023 yang lebih dua kali ganda berbanding purata global 5.6 peratus