10 DIS : Malaysia merekodkan RM254.7 bilion pelaburan yang diluluskan dalam pelbagai sektor ekonomi bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata angka itu menunjukkan peningkatan sebanyak 10.7 peratus berbanding RM230.2 bilion bagi tempoh sama pada 2023.
“Nilai ini melibatkan 4,753 projek yang dijangka akan menjana sejumlah 159,347 peluang pekerjaan baharu.
“Perkara itu dimaklumkan sewaktu saya mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) Bilangan 8 Tahun 2024 terkait soal prestasi pelaburan,” katanya melalui hantaran di laman X, hari ini.
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, MPN juga bersetuju dan mengesahkan Garis Panduan bagi Pembangunan Pusat Data Mampan yang mengandungi metrik kecekapan Keberkesanan Penggunaan Tenaga (PUE) dan Keberkesanan Penggunaan Air (WUE).
“Garis panduan ini akan diguna pakai sebagai syarat kelayakan insentif cukai di bawah Skim Pecutan Ekosistem Digital (DESAC) hatta ia adalah inisiatif penambahbaikan polisi terkait usaha memacu pelaburan pusat-pusat data negara ini.
“Kerajaan MADANI berterusan menambah baik dasar sedia ada dan mewujudkan dasar-dasar baharu sebagai langkah meningkatkan daya saing negara,” katanya.