10 DIS : Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Pindaan) 2024 ditangguhkan untuk bacaan kali ketiga.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil membuat permohonan itu ketika menggulung perbahasan RUU berkenaan di Dewan Rakyat, hari ini.
Fahmi berkata penangguhan itu bagi memberi ruang untuk pihaknya mendapatkan pandangan serta cadangan lanjut berkait RUU itu.
Jelasnya, RUU itu akan dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi serta JKPK Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi bagi tujuan sama.
“Saya dapati ada isu dibangkitkan dalam sesi terbabit yang tertumpu kepada pindaan Akta 588 (Akta Komunikasi dan Multimedia 1998) dan pihak berkenaan tidak menyentuh perkara dibangkitkan ahli Yang Berhormat (YB) semasa membahaskan Akta 589 (Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998).
“Perkara dibangkitkan ini saya lihat wajar diberi lebih banyak ruang untuk diteliti dan perhalusi memandangkan Seksyen 588 akan dipandu SKMM. Sebaik mana Akta 588 itu, jika kita perlu perkukuhkan lagi dari segi tatakelola suruhanjaya ini, maka ia perlu berikan pertimbangan lebih wajar,” katanya.
Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berrharap kedua-dua jawatankuasa itu akan mendapatkan pandangan serta cadangan daripada pertubuhan masyarakat sivil (CSO) sebelum undang-undang baharu digubal kelak.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata penangguhan itu juga bagi mengelak wujud persepsi bahawa akta berkenaan hanya untuk memuaskan nafsu politik dan menyebelahi satu pihak sahaja.
“Semua YB menghadapi masalah, sama ada dengan (syarikat) telekomunikasi dan SKMM. Saya harap lebih ramai akan dapat memberi pandangan melalui jawatankuasa ini. Saya tiada halangan jawatankuas memanggil pihak lain,” kataya.