10 DIS : Tiada sebarang kenyataan akan dikeluarkan Istana Pahang berkait Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 susulan kes itu masih berjalan.
Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Datuk Seri Saiful Edris Zainuddin berkata perkara tersebut sudah diperjelaskan kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Katanya, keputusan itu diambil berdasarkan nasihat daripadanya dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail selain menghormati prosiding mahkamah yang sedang berjalan.
“Saya selaku Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang telah menghadap Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan menyembah maklum berkenaan perkara ini.
“Berdasarkan nasihat Menteri Besar Pahang dan saya serta bagi menghormati prosiding mahkamah, Istana Pahang tidak akan membuat sebarang kenyataan kerana ia boleh mengakibatkan subjudis terhadap kes rayuan yang sedang dibawa ke Mahkamah Rayuan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, anak Datuk Seri Najib Razak iaitu Datuk Mohamad Nizar dilaporkan memfailkan afidavit 5 Disember lalu sebelum perbicaraan Mahkamah Rayuan yang mendakwa Sultan Pahang memaklumkan tentang titah tambahan yang mencadangkan supaya bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman penjara selama enam tahun menerusi tahanan di rumah.
Minggu lalu, Najib memfailkan notis usul untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan titah addendum.
Dokumen tersebut didakwa diterima anak sulung Najib, Datuk Nizar dari Istana Pahang sebagai bukti tambahan baharu dalam rayuan berhubung kewujudan titah adendum.
Najib memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022 dan titah adendum yang didakwa diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16 itu akan membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.
Pada 3 Julai lepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan Najib memutuskan bahawa empat afidavit yang menyokong tuntutannya, termasuk kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, tidak boleh diterima kerana ia khabar angin semata-mata.
Najib kini menjalani hukuman penjara enam tahun sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.