11 DIS : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkritik sikap hipokrasi negara-negara yang kononnya memperjuangkan hak asasi manusia dan demokrasi namun hanya berdiam diri melihat pelanggaran yang jelas.
Katanya, penindasan yang terus-terusan berlaku di Palestin masih tidak ditanggapi komuniti antarabangsa meski segala-galanya dirampas dari rakyat di wilayah itu.
“Mengapa bercakap tentang moral dan hak asasi manusia apabila ketidakadilan seperti ini diabaikan? Wujud jurang yang jelas antara apa yang diperkatakan dengan apa yang diamalkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sidang Kumpulan Visi Strategik: Interaksi Antara Rusia dan Dunia Islam, hari ini.
Katanya, tujuan penubuhan asal Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menentang kolonialisme namun ketika ia melanda Palestin, dunia masih berdiam diri.
“PBB ditubuhkan untuk menentang kolonialisme, namun hari ini dunia seolah-olah membenarkan dan menerima kolonialisme.
“Di Palestin, harta benda mereka dirampas, kekayaan mereka diranap dan tanah serta nyawa mereka dilenyapkan. Keheningan dunia terhadap perkara ini amat mengejutkan,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar menyeru komuniti antarabangsa memulihkan nilai moral yang kian merosot malah katanya kegagalan dunia menangani isu itu membuktikan keadilan semakin terhakis.