11 DIS : Malaysia tetap meneruskan hubungan baik serta bebas dengan negara Barat dan Timur selain kekal konsisten dalam isu kemanusiaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerjasama di antara Rusia dan dunia Islam bukan hanya bersifat politik namun ia juga berpaksi kepada ekonomi dan budaya seperti yang ditunjukkan BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan).
“Rusia menunjukkan kemajuan besar dalam sektor pertanian, menjadi pengeksport utama gandum…membantu menangani cabaran keselamatan makanan global.
“Malaysia aktif dalam membangun ekosistem institusi kewangan syariah, termasuk bank dan takaful. Kami percaya pengalaman dan teknologi Rusia boleh melengkapi usaha ini termasuk dalam sektor teknologi tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucap tama bagi merasmikan Kumpulan Visi Strategik: Interaksi Antara Russia dan Dunia Islam – Era Kemunculan Multipolariti di ibu negara, hari ini.
Persidangan dua hari itu dihadiri lebih 200 tokoh berpengaruh dari 32 negara termasuk wakil badan kerajaan, politik, agama dan masyarakat merangkumi Asia, Afrika, dan Timur Tengah serta organisasi antarabangsa.
Mesyuarat itu bagi membincangkan potensi hubungan antara Rusia dan negara-negara Islam dalam konteks landskap antarabangsa yang berubah pantas dengan tumpuan kepada menetapkan parameter interaksi dalam dunia multipolar yang berkembang.
Anwar turut menyeru masyarakat global mengamalkan nilai kemanusiaan, keadilan dan ihsan dalam memerangi kebangkitan fasisme, rasisme dan tiada tolak ansur.
“Kita fikir dengan pembangunan, kemajuan dan ilmu, kita akan memperoleh kebijaksanaan yang lebih besar. Kita berharap akan ada lebih banyak toleransi dia antara orang Islam dan pemimpin agama dari pelbagai denominasi, tapi ini tidak berlaku.
“Kita berada dalam era tragedi besar, kemanusiaan sedang runtuh, terutama dalam kalangan umat Islam. Tanggungjawab kita adalah untuk mempromosi pemahaman baharu berdasarkan toleransi (tasamuh), rahmah dan ihsan kerana itulah yang diajar Islam.
“Penting bagi kita menggunakan persidangan seperti ini untuk menyampaikan mesej berkenaan,” katanya.
Katanya lagi, usaha menentang kebencian dan mewujudkan dunia di mana kemanusiaan berkembang melalui saling memahami dan menghormati memerlukan kerjasama masyarakat global terutama dalam kalangan pemimpin agama dan politik.
*Foto: Facebook Anwar Ibrahim