11 DIS : Mesyuarat Majlis Penyelarasan Saudi-Malaysia (SMCC) yang pertama kali diadakan mengesahkan semula hubungan kukuh antara Malaysia dan Arab Saudi.
Mesyuarat itu dipengerusikan bersama oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan rakan sejawat dari Arab Saudi, Putera Faisal Farhan Al-Saud di Riyadh.
SMCC merupakan mekanisme dua hala yang ditubuhkan bagi mempromosi kerjasama dan berfungsi sebagai badan penyelaras antara kedua-dua negara dalam lapan bidang utama-politik, keselamatan, pertahanan, ketenteraan, perdagangan dan pelaburan, tenaga dan alam sekitar, hal ehwal Islam, pendidikan serta sosiobudaya.
Kementerian Luar (Wisma Putra) berkata Mohamad menegaskan komitmen Malaysia untuk meningkatkan hubungan dengan Arab Saudi, sambil menekankan kepentingan kerjasama dalam bidang utama seperti ekonomi, tenaga dan tenaga boleh diperbaharui, pendidikan, urusan haji, kesalinghubungan, pelancongan, pertahanan, pertanian serta keselamatan makanan.
Mohamad turut menyuarakan keyakinannya bahawa penubuhan SMCC akan mengukuhkan lagi hubungan itu dan memperluas skop kerjasama dua hala antara kedua-dua negara.
Mesyuarat SMCC seterusnya dijadual berlangsung pada 2025 di Malaysia sekali gus mengukuhkan lagi komitmen kedua-dua negara untuk memajukan kerjasama jangka panjang yang sedia terjalin.
Selain itu, kedua pemimpin turut bertukar pandangan mengenai isu serantau yang mendesak termasuk situasi di Palestin, Lubnan dan Syria.
“Mengenai Palestin, Malaysia terus menyokong pendirian Arab Saudi menyeru gencatan senjata segera serta menekankan keperluan untuk penyelesaian yang adil dan berkekalan berdasarkan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa,” menurut Wisma Putra dalam satu kenyataan, lapor Bernama.
Sementara itu, mengenai isu Syria, kementerian itu berkata, kedua-dua Menteri Luar itu menyatakan harapan agar penyelesaian politik yang berpanjangan dapat dicapai bagi menamatkan konflik berterusan dan memulihkan keadaan normal demi kesejahteraan rakyat Syria.
Mesyuarat tersebut turut mencerminkan sokongan jelas dan komitmen teguh Malaysia untuk memupuk perkongsian yang kukuh bersama Arab Saudi serta bekerjasama dalam menangani cabaran serantau secara kolektif.
Pada masa sama, kedua negara memetrai dua MoU mengenai Pengecualian Visa untuk Lawatan Jangka Pendek kepada Pemegang Pasport Diplomatik dan Rasmi atau Khas dan MoU berkait Bidang Pembangunan Sosial.
Mohamad yang tiba di Riyadh pada Selasa dijadualkan mengadakan perbincangan peringkat tinggi dengan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Tawfig bin Fazwan Al-Rabiah di Madinah.