11 DIS : Kerajaan dalam rangka memuktamadkan Pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) untuk memperkenalkan hukuman lebih berat dalam aktiviti ‘mat rempit’.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata pindaan itu sebagai bentuk pencegahan kepada pelaku.
“Kerajaan sedang mengkaji untuk mengetatkan lagi undang-undang sedia ada dengan memperkenalkan hukuman lebih berat bagi kesalahan berkaitan aksi berbahaya dan lumba haram.
“Draf pindaan membabitkan Akta 333 sudah dibawa ke AGC. Langkah ini diambil bagi memastikan hukuman yang dikenakan dapat menjadi bentuk ‘deterrence‘ atau pencegahan kepada pelaku,” katanya pada sesi pertanyaan jawan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-Labis) mengenai bentuk tindakan boleh diambil ke atas kumpulan mat rempit yang sering melakukan aksi berani di lebuh raya, sekali gus mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.
Menurut Hasbi, penguatkuasaan bersepadu antara Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerap dilaksanakan bersama pelbagai agensi penguatkuasaan dan pihak berkuasa tempatan.
JPJ dan PDRM juga katanya sentiasa menjalankan pemantauan terhadap kumpulan dan individu terbabit secara aktif dalam gejala mat rempit yang turut membabitkan kawasan panas.
“Kementerian melalui JPJ juga akan melaksanakan kerjasama berterusan dengan agensi berkaitan seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi mengekang aktiviti penjualan dan pengubahsuaian motosikal tidak mengikut spesifikasi.
“Mengenai kuasa melupuskan kenderaan disita, JPJ melakukan tindakan penguatkuasaan bagi kesalahan ubah suai (ekstrem) dan rempit atau lumba haram. Pelupusan kenderaan disita atas alasan pengubahsuaian motosikal akan memberi kesedaran kepada pengguna motosikal lain.
“Ini kerana kebanyakan mat rempit tidak gentar dengan tindakan sita yang dikenakan memandangkan mereka tahu segala barangan disita akan dipulangkan semula,” katanya.