11 DIS : Kerajaan tiada hasrat untuk memperkenalkan program Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada murid Darjah Enam, buat masa ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata cadangan itu memerlukan penelitian sebaiknya sebelum ia dilaksanakan.
“Ada beberapa negara seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE) umpamanya, selepas grade 6, mereka terus dimasukkan ke program TVET dan TVET jadi pilihan utama di sana. Malah banyak negara maju telah memulakan perkara itu juga.
“Tetapi biarlah kita mulakan dengan lepasan Tingkatan 3 dahulu, kemudiannya baru kita buka (kepada pelajar) selepas Darjah Enam nanti kerana kita tidak mahu kejutan budaya berlaku kepada ekosistem pendidikan negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan 2025 bagi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Dewan Negara, hari ini.
Sebelumnya, Senator Datin Ros Suryati Alang mencadangkan agar program TVET itu diturunkan had umur kepada seawal 13 tahun berikutan terdapat ramai pelajar yang tinggal di luar bandar dan Orang Asli yang selepas Darjah Enam enggan lagi melanjutkan ke sekolah menengah.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara (MTVET) berkata kerajaan sentiasa berusaha untuk membantu pelajar lepasan Tingkatan Tiga menyertai program TVET.
“Saya amat menyedari trend yang sebegitu. Setakat ini kita bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk memulakan kursus TVET ini selepas mereka melalui Tingkatan 3,” katanya.
Katanya, pelajar terbabit dalam bidang TVET menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap satu hingga lima iaitu setaraf dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahap satu hingga tiga dan taraf Diploma bagi tahap empat dan lima.
Setakat 31 Oktober lalu, 408,000 pelajar TVET direkodkan seluruh negara berbanding hanya 128,000 sebelum ini.