11 DIS : Bekas Naib Presiden PKR, Datuk Zuraida Kamaruddin perlu membayar pampasan sebanyak RM100,000 kepada PKR bukan RM10 juta atas kesalahan melanggar syarat bon parti itu pada 2020.
Perkara itu diputuskan panel tiga hakim, Hakim Mahkamah Rayuan Datuk See Mee Chun, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Ahmad Kamal Md Shahid, hari ini.
Ketika membaca penghakiman, Hakim See berkata keputusan bersalah dikekalkan namun pampasan RM10 juta yang dikenakan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini adalah tidak munasabah
Pada 23 Jun 2023, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Akhtar Tahir mengarahkan Zuraida membayar RM10 juta selepas mendapati bon tersebut adalah kontrak yang sah dan mengikat.
Setiausaha Agung PKR ketika itu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memfailkan saman pada 28 September 2020 bagi pihak parti menuntut RM10 juta daripada Zuraida atas dakwaan melanggar syarat bon yang mengikatnya kepada parti.
PKR mendakwa bekas Ahli Parlimen Ampang itu ada menandatangani syarat bon pada 25 April 2018 yang mengikatnya untuk membayar RM10 juta kepada parti jika melanggar perjanjian seperti yang dinyatakan dalam terma dan syarat bon tersebut.
Ini termasuk jika beliau meletak jawatan dari parti, menyertai parti politik lain atau menjadi wakil rakyat bebas selepas memenangi pilihan raya atas tiket PKR.
Namun Zuraida dalam pembelaannya mendakwa dipaksa menandatangani bon itu untuk menjadi calon PKR bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018.
Pada 24 Februari 2020, Zuraida dalam satu kenyataan bersama 10 Ahli Parlimen (MP) PKR mengumumkan peletakan jawatan mereka daripada parti tanpa meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Ampang dan akhirnya menubuhkan blok baharu dikenali sebagai Perikatan Nasional (PN).