13 DIS : Penduduk di empat negeri masih terjejas akibat banjir yang melanda setakat jam 10.30 malam ini.
Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan 305 mangsa daripada 93 keluarga berlindung di tujuh pusat penempatan sementara (PPS).
Di Perak, dua PPS dibuka semalam kini menempatkan 220 mangsa daripada 68 keluarga melibatkan dua daerah iaitu Manjung dan Perak Tengah.
Angka itu menunjukkan peningkatan berbanding yang direkodkan petang tadi.
Sementara di Pahang, 41 mangsa dari dua daerah yang melibatkan 12 keluarga berlindung di tiga PPS yang juga dibuka sejak semalam.
Daerah yang terjejas ialah Bera dan Maran.
Manakala banjir di Terengganu terus semakin pulih apabila hanya tinggal sebuah keluarga membabitkan empat ahli keluarga yang masih ditempatkan di sebuah PPS di daerah Kemaman.
DiJohor pula, jumlah mangsa banjir berkurang kepada 40 orang yang berlindung di sebuah PPS di Segamat yang dibuka sejak 29 November lalu.
Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berkata hujan berterusan selama empat hari dijangka berlaku di Kelantan dan Terengganu serta daerah Hulu Perak bermula Isnin ini.
Sementara di Pahang, situasi sama dijangka melanda daerah Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin.