13 DIS : Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 akhirnya selesai selepas bersidang selama 35 hari dengan 26 rang undang-undang (RUU) diluluskan.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata pada persidangan tahun depan, kerajaan akan memperkenalkan inisiatif baharu iaitu polisi tanpa kertas.
“Pertama, jawapan bertulis daripada pihak kementerian kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat akan diberikan secara terus melalui e-mel. Kedua, kertas Aturan Urusan Mesyuarat hanyalah melibatkan Bahagian Pertama iaitu Waktu-Waktu Pertanyaan Menteri dan Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan.
“Aturan Urusan Mesyuarat yang lengkap melibatkan Waktu-Waktu Pertanyaan Menteri dan Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan dan senarai rang undang-undang dan usul-usul serta risalat-risalat yang diberikan secara fizikal sebelum ini, akan dimuat naik ke e-risalat dalam laptop Ahli-Ahli Yang Berhormat serta di laman sesawang Parlimen Malaysia,” katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan di Dewan Rakyat.
RUU Perbekalan (Belanjawan) 2025 yang melibatkan peruntukan terbesar dalam sejarah negara iaitu RM421 bilion turut diluluskan 3 Disember lalu dengan majoriti selepas dibahas hampir tujuh minggu di peringkat dasar dan jawatankuasa.
Belanjawan ketiga dibawah pentadbiran Kerajaan Madani itu dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 18 Oktober lalu.
RUU lain yang diluluskan pada persidangan kali ini termasuklah RUU Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024, RUU Keselamatan Dalam Talian 2024, RUU Perkongsian Data 2024, RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) (No.2) 2024, RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No.2) 2024, RUU Majlis Perundingan Gaji Negara (Pindaan) 2024 dan RUU Industri Perkhidmatan Air (Pindaan) 2024.
Selain itu, RUU Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2024 turut diluluskan bersama RUU Ordinan Buruh Sarawak (Pindaan) 2024, RUU Pemegang Amanah (Pindaan) 2024, RUU Profesion Undang-Undang (Pindaan) 2024 dan RUU Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2024.
Dalam pada itu, RUU Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Pindaan) 2024 ditangguhkan selepas dipohon Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Menurutnya, RUU itu akan dibawa kepada Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi serta JKPK Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi bagi tujuan mendapatkan pandangan dan cadangan penambahbaikan sebelum diteruskan.
Selain itu, RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 untuk bacaan kali kedua ditangguhkan meski tersenarai dalam Aturan Urusan Mesyuarat pada sidang kali ini.
Dua RUU dibentangkan untuk bacaan kali pertama iaitu RUU Majlis Media Malaysia 2024 bagi menubuhkan badan kawal selia kendiri serta RUU BERNAMA (Pindaan) 2024 yang antara lain untuk menjadikan industri media lebih inklusif.
Sidang kali ini juga menyaksikan pembentangan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said ketika menggulung perbahasan usul itu berkata Ia sebagai bukti ketelusan Kerajaan Madani selain bagi membolehkan kerajaan mengambil cadangan serta keputusan untuk memperbaiki kelemahan yang berlaku.
Dalam sidang kali ini juga, Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) membuat penerangan terhadap penyata-penyata yang sudah dibentangkan.