Laporan RCI Batu Puteh: Tidak timbul soal dendam
13 DIS : Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan bukan untuk membalas dendam terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tidak timbul soal dendam susulan penubuhan pasukan khas itu dibuat sebelum pentadbirannya lagi.
“Tidak timbul pun (balas dendam), pasukan khas itu dibuat sebelum saya pun, itu masa (Datuk Seri) Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.
“Menterinya (ketika itu) Datuk Seri Hamzah (Zainudin), (Datuk Seri) Takiyudin (Hassan), pasukan petugas khas (PPK) ada buat (kajian) dan penemuan dalam laporan itu lebih teruk lagi. Jadi tak usah main (isu dendam),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Darul Ulum SMK Agama Putrajaya, hari ini.
Tegas Anwar, laporan berkenaan bagi mempertahankan wilayah negara dan sewajarnya tidak boleh diserah dengan sewenang-wenangnya malah katanya jika terdapat salah laku, segalanya terserah kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
Semalam, laporan RCI itu dibawa ke Dewan Rakyat dan dibahaskan ahli Parlimen dari blok kerajaan dan pembangkang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan tujuan membawa usul itu ke Parlimen bukan untuk mendakwa sesiapa sebaliknya ia bagi membolehkan kerajaan mengambil cadangan atau keputusan untuk memperbaiki kelemahan.
Terdahulu, ketibaan Anwar di Surau Darul Ulum SMK Agama Putrajaya untuk menunaikan solat Jumaat bersama lebih 1,000 jemaah.
Beliau sempat meluangkan masa makan tengah hari bersama penduduk setempat selain beramah mesra dengan jemaah dan merasmikan Laman Hadis 40 Imam Nawawi surau tersebut.
*Foto: Facebook Anwar Ibrahim