13 DIS : UMNO menafikan khabar angin yang menyebut penyertaan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ke PKR.
Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata beliau tidak mendengar perkhabaran itu dan menganggapnya sebagai khabar angin.
“Saya tak ada dengar dan tidak dapat makluman, maka saya menganggapnya sebagai khabar angin.
“Saya percaya kasih dan sayang Tengku Zafrul kepada UMNO cukup tinggi, jadi saya masih beranggapan khabar angin, tidak tahu dari mana sumbernya,” katanya, lapor BH, hari ini.
Megat Zulkarnain berkata pada minggu lalu beliau ada bertemu Tengku Zafrul dalam pertemuan bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Itu tidak dibincangkan sama sekali. Saya duduk sebelah Tengku Zafrul ketika pertemuan dengan Presiden UMNO dan perkara itu tidak ditimbulkan sama sekali,” katanya.
Terdahulu, sebuah portal melaporkan kononnya rundingan giat dilakukan berhubung Tengku Zafrul meninggalkan UMNO untuk menyertai PKR.
Tengku Zafrul yang merupakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri menjadi ahli UMNO Bahagian Kota Raja pada Januari 2023 sebelum mengangkat sumpah sebagai ahli MKT UMNO sebulan berikutnya.