14 DIS : Pelbagai teknologi baharu diuji di kawasan luar bandar dan pedalaman bagi memastikan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) fasa dua berjalan lancar.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata pihaknya menggunakan pendekatan hibrid susulan ada teknologi yang tidak sesuai dengan lokasi tertentu.
“Saya lihat dari segi spesifikasi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan terus mengkaji tetapi ada beberapa perkara yang saya boleh pertimbangkan untuk kegunaan dalam penyelesaian yang kita rangka contohnya dalam program JENDELA fasa dua.
“Pelbagai teknologi baharu yang muncul kita dapati stabil, ideal, agak pantas dan telah digunakan beberapa negara lain serta berkemampuan untuk menyelesaikan masalah khusus Malaysia.
“Contohnya, kita ada tempat yang bergunung-ganang, berbukit-bakau dan ada juga yang merentasi sungai ataupun sampai ke pulau-pulau, untuk melengkapkan 1.8 peratus kawasan berpenduduk yang masih belum ada Internet,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja meninjau tapak projek Prove of Concept (POC) Tarana di Dewan Masyarakat Kampung Seri Bunian, Pontian, hari ini.
Menurut Fahmi, penggunaan peranti jalur lebar tanpa wayar oleh Tarana juga dalam pertimbangan selepas ujian awal di empat lokasi termasuk di Kampung Seri Bunian, Pontian dan Sedenak, Kulai menunjukkan keputusan memberangsangkan.
“Perujian teknologi baru ini (di Kampung Seri Bunian) bermula sebelum Monsun Timur Laut (MTL) hingga hari ini, jadi kita ada data ketika cuaca hujan dan cuaca kering.
“Data ini akan membantu kita sebab ada dua cuaca berbeza, dua menara berbeza dan lokasi berbeza maka kita akan teliti secara keseluruhan,” katanya.
Menyentuh soal prestasi pelaksanaan JENDELA fasa satu yang sangat tidak memuaskan, Fahmi berkata banyak masalah timbul termasuk teknologi yang digunakan tidak bersesuaian dengan kawasan.
“Semasa dalam Parlimen saya ada sebutkan JENDELA fasa satu daripada 1,661 menara yang dirancang, hanya 1,385 menara siap dibina dan daripada jumlah itu hanya 808 menara digunakan, setakat ini.
“Kita teliti dan antara kesilapan yang dianggap wujud kecelaruan pada ketika itu ialah teknologi yang digunakan tidak sesuai dengan lokasi tertentu, di samping masalah tanah dan bekalan tenaga,”katanya.