16 DIS : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra sebagai penasihat peribadi beliau apabila mempengerusikan ASEAN, tahun depan.
Menurut Anwar, pelantikan tidak rasmi itu membolehkan Malaysia menerima manfaat daripada pengalaman tokoh-tokoh daripada negara-negara di Asia Tenggara.
“Saya bersetuju untuk melantik Thaksin Shinawatra sebagai penasihat peribadi saya…sebagai Pengerusi ASEAN bersama dengan satu pasukan daripada seluruh negara-negara ASEAN dalam satu bentuk himpunan tidak rasmi.
“Terima kasih kerana bersetuju dengan perkara ini kerana kita perlukan manfaat pengalaman daripada negarawan-negarawan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra bersempena lawatan rasmi ke Malaysia, hari ini.
Paetongtarn tiba di Perdana Putra, hari ini bagi menghadiri Rundingan Tahunan Malaysia-Thailand Ketujuh (AC) sempena lawatan sulung beliau ke Malaysia sejak memegang tampuk kerajaan pada Ogos lepas.
Pada masa sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan menyifatkan rundingan melibatkan Malaysia dan Thailand ini tepat pada masanya selepas mencapai kemajuan dan kecemerlangan sejak AC terakhir pada 2006.
Dalam pada itu, Anwar memaklumkan Malaysia dan Thailand mengambil pelbagai langkah melalui dialog tidak rasmi di pelbagai peringkat antaranya melibatkan isu Myanmar iaitu Konsesus Lima Perkara (5PC) bagi memastikan Myanmar kembali aktif dalam ASEAN.
Pada sidang media sama, Paetongtarn menyatakan sokongan kepada Malaysia yang bakal menerajui Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.
Beliau menzahirkan harapan agar Malaysia dan Thailand dapat bekerjasama demi kebaikan kedua-dua negara dan ASEAN secara keseluruhannya.
“Saya komited untuk mengekalkan dinamik hubungan kita dan usaha ke arah keamanan dan kemakmuran” katanya.
Kedua-dua pemimpin itu turut menyaksikan pemeetraian dua memorandum persefahaman berkait kerjasama dalam budaya, seni dan warisan serta kerjasama ekonomi dan industri getah.