16 DIS : Kenderaan elektrik (EV) pertama Proton, e.MAS 7 yang dilancarkan hari ini diumum kenderaan rasmi ketika Malaysia menjadi pengerusi ASEAN, tahun depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan perkata itu berharap dengan pemilihan EV pertama jenama tempatan itu mampu menjadi contoh kepada negara serantau di samping dapat mempromosikan pembangunan EV di negara ini.
Kata Anwar, pemilihan EV juga merupakan antara usaha Malaysia dalam meninggalkan industri karbon lama kepada baharu.
“Sekarang kita mesti mengimbangi permintaan dengan sekuriti, kemampuan, dan kemampanan. Di bawah Inisiatif Peralihan Bertanggungjawab, Malaysia meningkatkan daya saingnya dengan mengurangkan kebergantungan bahan api fosil.
“Selain itu, ia dapat memupuk pertumbuhan dalam mobiliti hijau, tenaga boleh diperbaharui dan penyelesaian penyimpanan tenaga,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian e.MAS 7 di ibu negara, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad; Pengerusi PROTON, Tan Sri Syed Faisal Albar; Ketua Pegawai Eksekutif Geely Auto Group, Jerry Gan dan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong.
Dalam ucapan sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan menzahirkan rasa gembira apabila Malaysia berjaya mengorak langkah ke arah kemampanan dan inovasi teknologi hijau di samping ia menjadi satu langkah besar dalam sektor automotif negara.
Tambah Anwar, pembinaan EV yang bakal dijalankan di Tanjung Malim, Perak juga akan dinaiktaraf melalui pemindahan teknologi dan kemahiran baharu yang berkaitan dengan EV.
“Sekarang kita saksikan kejayaan yang lebih mengagumkan. Ia menjadi pencapaian penting dalam sektor automotif dan perkemas hubungan yang terjalin antara PROTON dan Geely.
“e.MAS 7 akan menjadi tunjang Ekonomi MADANI ke arah peralihan karbon. Justeru, EV pertama Malaysia ini akan menjadi kenderaan rasmi Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025,” katanya.
Terdahulu, pada 29 Oktober, Anwar memaklumkan EV bakal digunakan sebagai kereta rasmi para pemimpin ASEAN ketika menghadiri acara-acara kenegaraan apabila Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada 2025.
Jelas Anwar, Malaysia perlu menonjol sebagai pengguna EV dan ia perlu digunakan bermula dengan Ketua Negara, para Menteri dan pegawai jika negara ini benar-benar serius tentang kelestarian dan peralihan tenaga.
Proton e.MAS7 ditawarkan pada harga bermula RM109,800, Proton e.MAS 7 tampil dengan dua pilihan iaitu varian Prime (bermula RM109,800) dan versi tertinggi Premium (RM123,800).
Rebat sebanyak RM4,000 pula bakal diberikan kepada 3,000 pelanggan awal yang menyaksikan varian Prime bermula RM105,800 dan Premium bermula RM119,800.
*Foto: Facebook PanduLaju.com.my