16 DIS : Tiada elaun harian akan diberikan kepada peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0.
Namun Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kesemua perbelanjaan termasuk kos perjalanan peserta ditanggung kerajaan.
“Setakat ini, kerajaan belum ada berbincang atau membuat sebarang persetujuan mengenai elaun berkenaan.
“Semalam ada laporan yang mengatakan ada elaun harian itu adalah tidak betul sebab soalan pada saya ialah adakah kerajaan hendak tambah? Saya kata kekal, maknanya elaun perjalanan sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Bangunan Parlimen, hari ini.
Menurut Khaled kerajaan membelanjakan RM64 sehari bagi setiap peserta untuk menampung kos makan dan minum, penginapan dan keperluan lain sepanjang tempoh latihan itu.
“Selain itu, kerajaan akan menanggung kos pengangkutan pergi dan balik bagi peserta,” katanya.
Kata Khaled, pelaksanaan PLKN 3.0 bermula 12 Januari hingga 25 Februari ini merupakan latihan percubaan melibatkan 200 peserta yang terdiri daripada 148 lelaki dan 52 perempuan.
“Bagi latihan percubaan ia akan melibatkan (peserta) lelaki dan perempuan namun pada siri seterusnya peserta akan diasingkan mengikut jantina di kem-kem Wataniah,” katanya.
Dalam pada itu, 32 warden ditugaskan selama 24 jam di kem yang terlibat bagi memastikan tiada kes buli berlaku selain dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) di seluruh kawasan kem.
“Biasanya kes buli ini berlaku apabila wujudnya keadaan ada senior dan junior tetapi bagi peserta PLKN semua datang sama masa tidak ada yang kekal dan tidak ada yang baharu, jadi tidak ada senior, tidak ada junior.
“Namun, kita tetap melaksanakan langkah pencegahan dan saya harap media dapat menjelaskannya supaya tidak ada kebimbangan,” katanya.
Di persidangan Dewan Negara hari ini, beliau berkata kerajaan akan memantau dan menilai keberkesanan secara menyeluruh dan berterusan terhadap semua peserta PLKN 3.0 bagi memastikan objektif program tercapai.