17 DIS : Rekod rawatan bakal jemaah haji akan disediakan dalam bentuk digital bagi musim 1446H/2025M.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH), Syed Hamadah Syed Othman berkata ia bagi memudahkan urusan pemeriksaan kesihatan semasa di Makkah.
Syed Hamadah berkata bakal jemaah tidak perlu lagi ke cawangan TH untuk mendapatkan Buku Rekod Rawatan Jemaah Haji (BRRJH) itu secara fizikal seperti sebelum ini.
“Kini, bakal haji tidak perlu lagi untuk membawa BRRJH secara fizikal ke Tanah Suci kerana semua maklumat dan status kesihatan terkumpul di dalam satu sistem sekali gus dapat mengurangkan risiko kehilangan buku rekod tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, proses menjawab tawaran haji juga lebih mudah berbanding sebelum ini.
“Bakal haji boleh membuat semakan menerusi aplikasi THiJARI dan memuat turun surat tawaran tunai haji melalui laman web THiJARI, www.thijari.com.my.
“Seterusnya, mereka boleh melakukan pemeriksaan kesihatan di fasiliti kesihatan yang mempunyai Pegawai Perubatan yang berdaftar dengan TH dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dikehendaki untuk membawa bersama kad pengenalan dan Surat Tawaran Tunai Haji (‘softcopy / hardcopy’),” katanya.
Jelasnya bakal haji akan menerima notifikasi status kesihatan melalui sistem pesanan ringkas (SMS), e-mel dan aplikasi THiJARI dan melengkapkan proses penerimaan tawaran melalui laman web THiJARI.
Surat tawaran kepada 31,600 diserahkan secara berperingkat mulai semalam.
Beliau berkata proses pengisian maklumat bakal haji dan pegawai perubatan juga dilakukan dalam sistem yang diintegrasi bersama sistem KKM untuk mendapatkan butiran penuh tahap kesihatan bakal jemaah serta status vaksinasi.
“Pada tahun ini Kerajaan Arab Saudi masih mewajibkan bakal haji mengambil suntikan vaksin Meningococcal. Bagi bakal haji yang berumur 65 tahun ke atas dan bakal haji yang mempunyai penyakit komorbid atau mengalami masalah sistem imun lemah pula diwajibkan untuk mengambil vaksin Meningococcal, Influenza dan Covid-19.
“Buat masa ini, bakal Haji disarankan untuk mengambil suntikan Vaksin Meningococcal dan Influenza setelah lulus pemeriksaan kesihatan. Manakala bagi Vaksin Covid-19, pemakluman mengenai suntikan vaksinasi tersebut akan dimaklumkan oleh TH/KKM kemudian,” katanya.