17 DIS : Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memproses permohonan kewarganegaraan dan memberi keputusan dalam tempoh setahun mulai tahun depan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan itu bagi memastikan isu kewarganegaraan ditangani lebih efisien.
“Insya-ALLAH mulai tahun hadapan, setiap permohonan untuk mendapatkan kewarganegaraan akan mendapat keputusan dalam tempoh satu tahun.
“Ini adalah SOP yang saya tetapkan untuk pasukan KDN bagi memastikan isu kewarganegaraan ini ditangani dengan efisien. Ini sebahagian komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan hak rakyat terjaga dan terbela,” katanya melalui hantaran di Facebook, hari ini.
Menurut Saifuddin sejak Disember 2022, beliau sudah menyelesaikan 32,408 permohonan berkait kewarganegaraan.
“Sejak 21 Disember 2022 sehingga 27 November 2024, saya telah selesai membuat pertimbangan sebanyak 32,408 permohonan untuk mendapatkan kewarganegaraan Malaysia.
“Ada juga permohonan yang telah menunggu lebih dari lima tahun, Alhamdulilah lebih 80 peratus permohonan ini sudah selesai saya pertimbangkan,” katanya.